Menurut sumber, mereka bukan sahaja bersembunyi untuk mengelak daripada ditahan pihak berkuasa Filipina, tetapi turut berperanan menyampaikan maklumat terhadap ahli kumpulan bagi melakukan penculikan.

“Kebanyakan yang ditahan berperanan pemberi maklumat terhadap ahli kumpulan lain untuk me­lakukan kegiatan penculikan untuk tebusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, empat daripada 13 pengganas termasuk seorang warganegara tempatan ditangkap disyaki terlibat dalam pertempuran bersama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina, dua tahun lalu.

“Kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Counter Terro­rism Cawangan Khas Bukit Aman, Cawangan Khas Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Unit 69 Komando pada 11 Mac lalu di Semporna melibatkan lima lelaki warganegara Filipina dan seorang rakyat Malaysia yang berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun.

“Tangkapan kedua dilakukan pada hari sama di Tambunan, Sabah melibatkan lima lelaki serta seorang wanita dan kesemuanya merupakan warganegara Filipina yang berusia lingkungan antara 23 dan 63 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Mohamad Fuzi, satu lagi tangkapan dibuat di Tambunan, Sabah pada keesokan hari melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

Jelasnya, kesemua yang ditahan disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan seperti Abu Sayyaf Group (ASG), Kumpulan Pengganas Maute dan RSF termasuk terlibat dalam serangan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013 di Semporna, Sabah.

Ujarnya, mereka juga ditahan kerana terlibat dalam memberi perlindungan kepada elemen-ele­men pengganas asing yang bersembunyi di Sabah.

“Menerusi tangkapan ini, kita yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ASF dan kumpulan pengganas Maute yang masih bersembunyi dalam negara khususnya di Sabah,” katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- Kesalahan Berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).