Menurut Pengetuanya, Bahtiar Afandi, kejayaan memperoleh keputusan cemerlang itu merupakan hasil usaha keras para guru dan pelajarnya.

Katanya, lapan daripada 13 pelajar berkenaan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

"Pada tahun ini juga, kesemua 131 pelajar lulus semua mata pelajaran," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pelajar cemerlang, Lai Xiao Yu, 20, memberitahu, dia tidak sangka mendapat keputusan PNGK 4.00 bagi kesemua subjek diambil.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada guru-guru yang tegas dalam memastikan kami faham ketika pembelajaran.

"Tidak ada apa rahsia, saya cuma akan berehat sekejap selepas pulang sekolah bagi memberi tumpuan 100 peratus dalam ulang kaji," ujarnya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Yeo Ming Ming, 20, berkata, dia akan memastikan membuat latihan tambahan agar memahami dengan lebih jelas bagi sesuatu topik berkenaan.

"Saya berharap dapat mengikuti bidang perubatan dan menjadi seorang pakar jantung.

"Penyakit jantung dilihat antara pembunuh nombor satu di negara ini dan saya berharap dapat membantu merawat penghidap jantung," ujarnya.

Cheng Soon Hing, 20, memberitahu, dia akan membuat nota ringkas untuk mencatat apa yang dipelajari.

"Nota ringkas ini memang membantu saya dalam mengingati subjek-subjek berkenaan," katanya. - UTUSAN ONLINE