Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, pemilihan 13 Duta Belia TN50 itu juga dibuat berdasarkan jasa mereka mengharumkan nama negara dan bersemangat menabur bakti selain berpengaruh positif dan mempunyai jalinan baik dengan belia.

“Mereka berperanan melihat dan menganalisis aspirasi yang disampaikan golongan muda dan bagaimana aspirasi itu dapat dikembangkan agar menjadi lebih bermakna selain menggalakkan pengli­batan dalam TN50.

“Duta-duta ini perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti ter­tentu yang bersesuaian de­ngan latar belakang mereka selain memacu perbincangan mengikut jurusan dan mengusulkan inisiatif atau dasar kepada kerajaan,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengha­diri majlis Memperkenalkan 13 Duta Belia TN50 di sini hari ini.

Menurut Khairy, walaupun mencipta pelba­gai kejayaan di pering­kat tempatan dan antarabangsa serta sibuk dengan kerjaya, duta-duta yang dipilih tidak memberi sebarang alasan dan bersetuju dengan pemilihan tanpa mengharap ganjaran atau balasan.

Mereka yang dipilih ialah Naib Presiden Persatuan Penulis dan Ilustrator Buku Kanak-kanak, Sarah Joan Mokhtar; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Saora Industries, Ganesh Muren; Pengasas Teach For Malaysia, Dzameer Dzulkifli; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Beyond Boundaries, Dr. Lutfi Fadil Lokman; Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Research, Advisory and Technology, Ng Yeen Seen.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin; bekas atlet skuasy, Sharon Wee; Ketua Pegawai Inspirasi Gemilang 4e, Zhariff Afandi; pakar mamalia laut, Dr. Louisa Shohbini Ponnampalam; aktivis golongan kurang upaya, Dr. Aizan Sofia Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Samudra Oil Services, Shahril Hamdan; Ketua Pegawai Eksekutif BorderPass, Faisal Ariff dan pakar pembedahan plastik yang juga bekas ratu gimnastik negara, Dr. Farrah Hani Imran.