Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tempoh kuat kuasa SKHMP dijalankan selama 10 hari bermula 30 Januari hingga 8 Februari depan.

Jelasnya, bagi pelaksanaan skim tahun ini, kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayu­ran, barang kering, hasil laut dan daging babi.

“Penentuan harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit dibuat mengikut kewajaran serta kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan.

“Tindakan pengeluaran notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dilaksanakan terhadap pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak,” katanya dalam sidang akhbar Penentuan Harga Maksimum Barangan Harga Terkawal SKHMP Tahun Baru Cina 2019 di sini hari ini.

Beliau juga memaklumkan bahawa kementeriannya telah ditugaskan sebagai sekre­tariat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara oleh Kabinet untuk mengge­rakkan satu kajian komprehensif bagi memperincikan maklumat tentang punca peningkatan kos sara hidup di negara ini.

Katanya, kajian itu dijangka siap dalam tempoh enam minggu hingga dua bulan lagi.

“Kabinet memperakui terdapat sekurang-kurangnya enam komponen menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup terutama segmen makanan. Rakyat dilihat terkesan dengan segmen ini. Selain itu adalah segmen perumahan, bil utiliti, pengangkutan, kesihatan dan pendidikan.

“Oleh itu Kabinet telah meminta kementerian memulakan satu kajian menyeluruh bagi memperincikan lagi serta mengenal pasti punca-punca yang menyumbang peningkatan kos sara hidup secara lebih komprehensif,” katanya.