SARIPUDDIN KASIM

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, ia meliputi 11,556 saman bagi ke­salahan memandu melebihi had laju dan 1,540 saman kerana me­langgar lampu isyarat merah bagi tempoh 15 hingga 20 April.

“Lebih 13,000 saman telah dikeluarkan dalam tempoh lima hari namun tiada mata demerit dikenakan kerana mata demerit hanya diberikan selepas kompaun dibayar dan akan dikenakan kepada pemandu kenderaan dan bukan pemilik kenderaan.

“Jumlah saman yang banyak ini me­nun­jukkan masih ra­mai rakyat Malaysia yang sukar untuk me­ngubah sikap semasa di jalan raya walaupun sistem ini telah dilaksanakan,” katanya selepas Program IM4U anjuran Persatuan Suri Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Cawangan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Sistem yang dilaksanakan bagi membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya hanya melibatkan kesalahan melibatkan had laju dan pelanggaran isyarat lampu merah.

Saripuddin berkata, sebanyak 14 kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah dipasang seluruh negara dan kementerian akan menambah jumlah kamera selepas ini bagi memudahkan mengesan pengguna yang melakukan ke­salahan jalan raya.

“Pengguna jalan raya perlu turut sama memberikan kerjasama dan sokongan bagi membolehkan jumlah kemalangan dan kematian menurun. Ini penting untuk keselamatan bersama pengguna jalan raya dan bukan semata-mata kerana mahu mengelak daripada dikenakan mata demerit,”katanya.

Terdahulu, seramai 30 anak-anak yatim Rumah Baitul Ahmad menerima sumbangan berbentuk pakaian dan wang yang disampaikan oleh Penaung Puspanita Cawangan Kementerian Pengangkutan, Datin Sabariah Tukiman.

Program tersebut turut melibatkan kerjasama antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Skuad Muda 1 JPJ negeri. – BERNAMA