Pertandingan yang berlangsung dua hari itu dirasmikan oleh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris.

Program yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Marang serta Persatuan Sukan Elektronik Malaysia itu antara lain bertujuan mengasah kemahiran dan pendedahan ke arah melahirkan atlet e-sports profesional.

Pertandingan diadakan dalam dua kategori iaitu 'pro-evolution soccer' (Pes 2019) dan FIFA 2019 di mana pemenang bagi setiap kategori (johan dan naib johan) akan mewakili Terengganu keperingkat kebangsaan yang dijangka berlangsung Oktober depan.

Ketika berucap merasmikan pertandingan itu, Razali memberitahu, sukan elektronik tersebut kini merupakan satu fenomena digital global yang telah mendapat perhatian arus perdana dan mula menjadi salah satu segmen industri e-sports paling pantas berkembang.

Menurut beliau, industri e-sports bukan sekadar hiburan semata sebaliknya dikategorikan sebagai sukan kerana melibatkan pertandingan, di mana pemain perlu menyusun strategi dan meningkatkan semangat berpasukan selain memerlukan kemahiran tinggi.

"Ia satu platform bagi melatih kebolehan mental dan fizikal dalam penggunaan teknologi dan sistem elektronik ke arah pencarian bakat tempatan sebagai pendedahan dan pengalaman peringkat awal sebelum sertai Sukan SEA di Filipina 2019, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Asia di Hangzhou 2022.

"Saya berharap melalui pertandingan ini, ia mampu menarik minat ramai dan mempopularkan sukan elektronik ini dalam kalangan masyarakat di negeri ini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE