Justeru, beliau berharap lebih ramai kanak-kanak yang dididik di pusat tersebut dapat diserap masuk ke sekolah-sekolah aliran perdana bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna.

“Saya juga berharap masyarakat di luar sana lebih memahami kanak-kanak autisme ini dan menerima mereka seperti anak-anak lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa bersama empat kanak-kanak autisme yang pernah melalui program di pusat itu dan kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Taman Koperasi Polis di sini.

Rosmah meluangkan masa kira-kira setengah jam bersama kanak-kanak tersebut bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia hari ini sebelum mengadakan sesi dialog selama satu jam bersama ibu bapa mereka.

Beliau berkata menerusi sesi dialog itu, terdapat cadangan daripada pihak ibu bapa untuk kanak-kanak autisme Pusat Permata Kurnia diberi peluang menjalani Ujian UKM1, UKM2 dan UKM3.

“Kalau kanak-kanak ini lulus ujian tersebut dan IQ mereka tinggi, mereka akan dibenarkan masuk ke Pusat Permata Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia insya Allah,” katanya.- BERNAMA