Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Esszone hari ini dan sebagai permulaan, sebanyak 500 anggota yang telah menjalani latihan akan mula bertugas tidak lama lagi.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, langkah tersebut adalah bagi memperkasakan kawalan di sempadan daripada anasir luar terutama pusat-pusat pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong dari luar negara.

“Kerajaan Pusat menyokong penuh usaha kerajaan negeri dalam sektor pelancongan dan menyasarkan sejuta pelancong dari China, maka kita akan menggerakkan Rela dan agensi ke­selamatan untuk berkawal sepanjang masa.

“Sebagai permulaan, hanya 500 akan ditugaskan untuk projek perintis manakala selebihnya selepas mereka menerima latihan yang sewajarnya terutama dari aspek melaksanakan undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu yang dipengerusikan bersama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Ahmad Zahid berkata, peranan Rela hanya di barisan kedua ke­rana penguatkuasaan masih terletak pada Esscom yang melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, Jawatankuasa MKN akan membincangkan lebih lanjut tentang tugas-tugas yang boleh dilaksanakan anggota Rela, namun buat masa ini mereka akan diminta untuk mendampingi komuniti setempat.

“Paling penting ialah kese­lamatan masih tanggungjawab Esscom tetapi Rela akan membantu mereka kerana kawasan yang luas dan kita mahu Sabah sentiasa selamat,” ujar beliau.

Ahmad Zahid berkata, jawatankuasa itu turut memutuskan bahawa masalah kekurangan bekalan logistik untuk operasi harian di semua pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di Esszone perlu diselesaikan segera bagi memastikan anggota yang bertugas kekal bersemangat.

Tambahnya, situasi keselamatan di Sabah sekarang sangat baik tetapi kajian berterusan akan dilakukan untuk memastikan tahap kesiapsiagaan dan risikan sentiasa terbaik bagi mengelakkan berlaku pencerobohan.