Timbalan Pengarahnya, Rusman Rusdy berkata, pelepasan itu merupakan yang pertama seumpamanya di empangan berkenaan dengan membabitkan sejumlah 100 kelah, 70,000 udang galah, 35,000 lampam sungai dan 15,000 terbol.

"Daripada benih yang dilepaskan, dua adalah spesis bernilai tinggi iaitu kelah dan udang.

"Kita bersyukur kerana kawasan empangan ini tertutup jadi kadar pelepasannya lebih tinggi berbanding di sungai, malah keadaannya lebih terkawal dan kurang risiko ceroboh," katanya kepada pemberita selepas acara sempena program Agro Challenge 2017, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Badrul Hisham Mohd.

Menurut Rusman, kajian inventori yang dilakukan pada Mac lalu mendapati ekosistem empangan itu terdiri daripada ikan asli seperti terbol, lampam, kelah serta baung.

Katanya, pelepasan benih berkenaan secara tidak langsung dapat menambahkan stok ikan di samping melestarikan ekosistem air tawar.

"Terdapat seramai 14 orang nelayan darat di sini dan kita sedang berbincang dengan pihak empangan bagi mendapatkan kebenaran khas menangkap ikan dan sekiranya ada keperluan kita mungkin akan menambahkan jumlah nelayan itu," katanya.

Rusman memberitahu, tahun ini pihaknya sudah melepaskan hampir 500,000 benih ikan yang dianggarkan bernilai RM100,000 di seluruh perairan negeri. - UTUSAN ONLINE