Eksport pertama nanas varieti MD2 oleh pengedar tempatan, Syarikat Top Fruits Sdn. Bhd. yang berpangkalan di daerah ini dijangka tiba di Shanghai pada 23 Oktober depan.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, pintu pasaran China berjaya dibuka untuk produk nanas Malaysia melalui protokol berkenaan ketika kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara tersebut.

“Ini adalah hari yang bersejarah kerana pertama kali usaha Malaysia sejak beberapa tahun lepas untuk mengeksport nanas ke China akhirnya berjaya direalisasikan.

“Top Fruits Sdn. Bhd. adalah syarikat pertama yang mengeksport buah premium ini sebelum diikuti oleh tiga syarikat lain yang juga telah memenuhi syarat ketat dalam protokol tersebut,” katanya ketika menyaksikan penghantaran 12 tan nanas MD2 berkenaan, di sini sebentar tadi.

Protokol Keperluan Fitosanitasi ditandatangani oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pentadbiran Am mengenai Pengawasan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China, Zhi Shuping sambil disaksikan Najib dan rakan sejawatnya, Li Keqiang. - UTUSAN ONLINE