Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya telah menghubungi kesemua PBT tersebut namun tidak memberi sebarang maklum balas.

Beliau berkata, di bawah peruntukan undang-undang, jabatan itu berhak menahan pembayaran sebarang tuntutan jika terdapat keraguan atau pernyataan yang meragukan dalam borang pengikraran yang dikemukakan.

"Kita beri mereka tempoh tiga bulan untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan kerana pihak kastam tidak berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah walaupun tindakan boleh diambil.

"Tetapi jika mereka masih berdegil kita mungkin akan ke mahkamah untuk selesaikan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Mesra Ketua Pengarah Kastam Bersama Media 2017 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee yang mendakwa kastam masih berhutang lebih RM36 juta jumlah tuntutan bayar balik GST kepada 12 PBT di Selangor pada Julai lalu.

Tien Chee mendakwa jumlah hutang tersebut melibatkan tuntutan sejak September 2016 sehingga Jun 2017.-UTUSAN ONLINE.