Lebih unik apabila acara itu turut disertai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang sinonim dengan usaha mendekati golongan miskin dan memerlukan.

Dalam program kali ini, baginda dengan diiringi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkayuh sejauh 10 kilometer sambil singgah di empat buah rumah asnaf dan sebuah masjid untuk menyampaikan sumbangan.

Dalam ucapannya, Tuanku Syed Faizuddin menitahkan, semua lapisan penduduk di negeri itu supaya melakukan aktiviti sukan masing-masing setiap hari.

“Beta mahu semua lapisan dari peringkat JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) sehingga agensi-agensi kerajaan di Perlis memperuntukkan masa satu jam bermula pukul 6 petang untuk bersukan setiap hari,” titah baginda.

Dalam majlis itu juga diserahkan Rekod Kayuhan Terbanyak Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia Book of Records (MBOR) yang dilakukan oleh MAIPs sebanyak 106 kali pada 2015 yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Abdul Jamil Saad bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Sementara itu, Khairy berpuas hati dengan sambutan hangat Fit Malaysia Perlis kali ini yang membuktikan bahawa program itu semakin di­terima oleh seluruh masyarakat.

“Kali ini dianggap unik kerana adanya gabungan aspek kesukanan dan kebajikan oleh MAIPs selain disertai Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis,” katanya dalam sidang akhbar selepas program tersebut.

Terdahulu, pelbagai acara sukan diadakan bermula pukul 7 pagi sehingga pukul 4 petang, antaranya lari­an dan berbasikal sejauh antara lima hingga 10 kilometer, program senaman Zumba, aerobik, Stix2stix, body combat, body attack, body balance dan Fitness First Hardcore Maxx.

Turut diadakan pameran gerai-gerai yang mempromosi kecergasan menerusi jualan pelbagai peralatan dan makanan kesihatan.