Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, lanjutan penutupan itu dibuat berdasarkan prinsip langkah berjaga-jaga yang diambil pihak Kementerian Pendidikan.

“Kita berharap dengan penjelasan ini, semua ambil maklum tentang perkembangan semasa krisis dan kalau ada apa-apa info tambahan, kita (kementerian) akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa pencemaran di Pusat Rawatan Awal di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Ma­dis dan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Azman Adnan.

Bagaimanapun jelas Maszlee, selepas tamat tempoh tersebut, jika keadaan masih belum selamat maka tempoh penutupan sekolah mungkin akan disambung.

“Selepas cuti sekolah ini (cuti penggal), kita akan lihat perkembangan semasa dan akan maklumkan bila sekolah akan dibuka.

“Apa yang penting adalah keselamatan pelajar harus menjadi keutamaan. Pelajar terlibat bagaimanapun dinasihatkan untuk menjaga keselamatan serta banyakkan membaca,” ujarnya.

Kementerian Pendidikan pada 13 Mac lalu mengarahkan kesemua 111 sekolah terlibat di daerah ini ditutup serta-merta ekoran kes pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang semakin kritikal.