Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan SKMM, Datuk Mohd. Shafie Harun berkata, lokasi yang terlibat antaranya terletak di Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu, Johor serta Melaka.

Katanya, kebanyakan kesalahan dilakukan suspek menjurus kepada perbuatan menghantar kandungan bersifat lucah seperti video seks, penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) menghina serta kandungan mengancam dengan niat menganggu dan menyakitkan hati orang lain.

"Dalam operasi serbuan tersebut, rakaman percakapan turut diambil daripada suspek-suspek manakala beberapa peranti komunikasi, kad memori dan komputer riba turut dirampas untuk siasatan lanjut.

"Tindakan ini susulan aduan yang diterima daripada mangsa mengenai kandungan yang dilarang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi seseorang untuk membuat dan memulakan penghantaran sebarang komen, cadangan atau komunikasi lain yang lucah dan sumbang.

"Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Shafie turut menggesa para pengguna media sosial di negara ini untuk mempertingkatkan kawalan mereka ketika mengakses internet.

"Mereka diminta agar tidak menggunakannya sebagai platform untuk menyebarkan perkara-perkara sensitif yang boleh mengundang kemarahan orang awam," katanya. - UTUSAN ONLINE