Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda berkata, kesemua peserta itu telah mendapat rawatan perubatan di hospital pakar dengan tuntutan berjumlah RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya di bawah program takaful tersebut sekali gus mengurangkan beban penjawat awam.

Menurutnya, antara jenis penyakit yang paling banyak dirujuk peserta CuepacsCare ketika mendapatkan rawatan penghospitalan sepanjang tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

“CUEPACS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Medicare Assistance Sdn. Bhd. (Medicare) yang berjaya mengendalikan CuepacsCare dengan cemerlang. Secara purata jumlah tuntutan yang dibayar sebulan untuk penjawat awam yang menyertai ialah sekitar RM3.5 juta.

“Dengan bayaran bulanan serendah RM35 bagi pelan individu dan RM85 pelan keluarga CuepacsCare, penjawat awam di negara ini mampu memiliki kad kesihatan bagi mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta.

“Saya berharap penjawat awam ambil kesempatan ini untuk menyertai CuepacsCare,” katanya dalam Program Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare di sini, semalam.

Beliau menambah, selain Takaful CuepacsCare, CUEPACS dan Medicare turut memperkenalkan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA pada 2006 bagi memberi perlindungan 24 jam dengan bayaran sumbangan yang begitu rendah dan mampu dimiliki oleh semua peringkat penjawat awam.

“Program CuepacsPA merangkumi perlindungan kewangan untuk kematian, kecacatan anggota badan sama ada kecacatan kekal, penuh atau separa pada kadar caruman serendah RM6 sebulan dengan nilai pampasan sehingga RM440,000.

“Lebih istimewa, CuepacsPA memberikan perlindungan kepada penjawat awam dan ahli keluarga selama 24 jam di seluruh dunia sama ada dalam tempoh bekerja atau bercuti.

“Ia membantu apabila ditimpa kemalangan atau musibah tertentu dalam meringankan beban kewangan,” katanya.

Mengulas mengenai Program Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare, Azih berkata, program tersebut telah memasuki siri ketiga bertujuan meningkatkan aktiviti promosi CuepacsCare dan CuepacsPA kepada penjawat awam melalui aktiviti pemasaran oleh usahawan berkaliber MyCuepacsCare.

“Usahawan MyCuepacsCare yang terdiri daripada penjawat awam, pesara, graduan dan orang awam diberikan latihan oleh Medicare untuk mengadakan taklimat dan membuka kaunter bagi mempromosi produk CuepacsCare dan CuepacsPA di agensi atau jabatan kerajaan.

“Sehingga kini, seramai 240 usahawan MycuepacsCare telah menjalani latihan yang disediakan Medicare termasuk 70 peserta pada hari ini. Adalah menjadi harapan CUEPACS agar setiap warga penjawat awam mendapat perlindungan takaful tambahan untuk diri dan keluarga,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE