Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir menyempurnakan majlis tersebut dan beliau diiringi oleh Canselor KUG, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Dalam majlis tersebut, anugerah tertinggi iaitu peringkat Sarjana dimiliki oleh pelajar warga Libya, Salah Ghumiem, 37, manakala pelajar warga Bangladesh, Saifal Mahmud, 24, pula menerima pengiktirafan sebagai pelajar terbaik Sarjana Muda dan mereka masing-masing merupakan graduan jurusan Pentadbiran Perniagaan.

Bagi peringkat Diploma, KUG mengiktiraf seorang pelajar jurusan Farmasi sebagai pelajar terbaik iaitu Auni Husna Masa’ad, 22, yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Menariknya majlis kali ini, pihak KUG turut meraikan kejayaan seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) kategori Autisme, Muhammad Raul Rahmat, 21, yang berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dalam pengkhususan Diploma Farmasi. - UTUSAN ONLINE.