Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAqsa (MyAqsa), Dr. Noorazman Mohd. Samsudin berkata, persidangan julung kali itu akan menghasilkan resolusi berkaitan penentangan terhadap Zionis Israel yang mahu merampas Baitulmuqaddis dan menghancurkan Masjid Al-Aqsa.

Menurutnya, resolusi itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan khas Perdana Menteri dengan para ulama yang terlibat sejurus selesai persidangan tersebut.

“Antara agenda penting yang akan dibincangkan pada persidangan itu adalah peranan ummah dan negara-negara Islam dalam berdepan Zionis Israel yang semakin agresif mahu me­rampas Baitulmuqaddis.

“Selain persidangan, acara kemuncak adalah Himpunan Munajat Aqsaku yang akan berlangsung pada Sabtu, 27 Januari di Dataran Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pe­ngarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Presiden Kesatuan Ulama Palestin Diaspora di Malaysia, Sheikh Dr. Ahed Abu Alatta.

Noorazman berkata, antara ulama terkenal yang hadir pada persidangan itu adalah dari Mauritania, Syeikh Muhammad Hasan Walid Al-Didu; Setia­usaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr. Ali Al-Qaradaghi; ulama tersohor, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardawi dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Hadi juga akan me­nyampaikan pidato perdana pada himpunan munajat tersebut.

Beliau berkata, program selama tiga hari itu juga dimeriahkan dengan Ekspo Aqsaku yang menampilkan pelbagai aktiviti termasuk program solidariti selebriti, pameran dan gerai gambar yang memaparkan replika sebahagian Masjid Al-Aqsa.

Sementara itu, Othman berkata, Jakim amat menggalakkan penyertaan pelbagai pihak untuk hadir pada Festival MyAQSA itu bagi menunjukkan sokongan padu umat Islam dalam menentang keras tindakan rejim Zionis.

“Persidangan itu juga merupakan sokongan berterusan Malaysia rentetan daripada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Turki pada bulan lalu,” katanya.