Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, jumlah itu mampu dicapai menerusi maklumat positif yang diterima daripada kerajaan di Asia Barat itu.

“Kita tiada masalah untuk membekalkan nanas jenis Josapine di Dubai memandangkan  nanas jenis itu sudah lama ditanam dan keluasannya mencukupi sekiranya dieksport.

“Hari ini pertama kali kita akan mengeksport 20 tan nanas Josapine yang akan dihantar ke 33 kedai di Dubai nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program pelepasan eksport buah nanas ke Dubai oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.

Menurut Mohd. Anim, pihaknya turut menerima permintaan nanas daripada beberapa negara termasuk Turki, Jepun dan Mesir.

“Kita sedang mencari jalan untuk mengeksport nanas berkenaan ke negara-negara memandangkan kita mempunyai masalah dari segi pengangkutan untuk menghantar.

“Kita mendapat permintaan penghantaran nanas ke negara berkenaan melibatkan nanas jenis MD2,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Anim memberitahu, draf rang undang-undang Lembaga Perindustrian Kelapa dan Nanas Malaysia (LPKNM) sedang dalam proses semakan dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada tahun tahun hadapan sebelum dimuktamadkan seawal-awalnya akhir tahun hadapan.

“Sekarang pelaksanaannya dalam peringkat Penilaian Impak Perundangan (RIA) dan akan dibentangkan di parlimen pada sesi akan datang,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE