Dalam tempoh itu, industri sawit telah melalui perkembangan pesat sehingga menjadi pemacu kepada sektor pertanian dan ekonomi negara selain menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih empat juta penduduk.

Kejayaan paling besar melalui penanaman sawit ialah apabila kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengubah nasib penduduk luar bandar kepada taraf kehidupan yang lebih baik.

Kini peneroka yang berada di skim Rancangan Tanah Felda memiliki tanah sendiri dan memperoleh pendapatan tetap hasil penanaman sawit selain menikmati kemudahan infrastuktur yang lebih sempurna.

Sebagai antara pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dunia, Malaysia terlibat dalam bidang penyelidikan dan teknologi berkaitan sawit sehingga meng­angkat nama negara di peringkat global.

Dengan keluasan tanaman sawit 5.84 juta hektar iaitu lebih 70 peratus daripada keseluruhan kawasan pertanian negara, Malaysia telah mengeluarkan 20 juta tan minyak sawit pada 2017 dengan pendapatan eksport yang dijana berjumlah sebanyak RM77.8 bi­lion.

Lebih membanggakan, hampir 40 peratus pengeluaran minyak sawit Malaysia dihasilkan oleh 650,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Minyak sawit menjadi pilihan pengguna seluruh dunia kerana kelebihannya berbanding minyak sayuran lain seperti kaya dengan khasiat pemakanan, sifatnya yang pelbagai guna serta harga yang kompetitif.

Keistimewaan minyak sawit menjadi pilihan pengeluar produk makanan termasuk jenama popular dari luar negara seperti Ferroroche dan Nuttela yang dikeluar oleh syarikat di Perancis.

Di negara ini, perkembangan industri sawit secara teratur dikawal selia oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui peraturan pelesenan dan pematuhan peraturan berkaitan alam sekitar serta amalan mampan.

Pembangunan industri sawit berpaksikan kepada tiga tunggak kemampanan iaitu pembangunan sosial (people), alam sekitar (pla­net) dan pembangunan ekonomi (profit) untuk kesejahteraan rak­yat dan generasi akan datang.

Bagi meningkatkan kemampanan industri sawit negara, kerajaan telah melaksanakan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menyasarkan pengeluaran minyak sawit mampan sepenuhnya pada akhir 2019.

Pelaksanaan pensijilan MSPO secara mandatori termasuk penglibatan pekebun kecil melalui penubuhan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) dan Koperasi Pe­nanam Sawit Mampan (KPSM), berupaya meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil buah sawit sekali gus meningkatkan imej kemampanan industri sawit Malaysia.

Bagi memastikan industri sawit negara berdaya saing serta menyumbang kepada kesejahtera­an ekonomi negara dan pasaran minyak sayuran global, strategi masa depan adalah berpaksikan teknologi moden dan amalan mampan.

Sempena ulang tahun ke-100 industri sawit di negara ini, Kementerian Perusahaan Perlada­ngan dan Komoditi pada 18 Mei tahun lalu telah menganjurkan acara sambutan di Ladang Tennamaram yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bertemakan ‘Minyak Sawit Malaysia, Kebanggaan dan Pencapaian Kita’, Sambutan 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit Negara bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat me­ngenai pencapaian dan sumbangan industri sawit kepada kesejahteraan ekonomi negara serta industri minyak sayuran global.

Dalam sambutan itu, Perdana Menteri Malaysia kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dianugerah­kan sebagai Tokoh Pembangunan Industri Sawit Negara atas jasa serta sumbangan besarnya membangunkan sektor itu sekali gus mengubah landskap ekonomi serta sosial masyarakat negara ini sejak 61 tahun lalu.

Warga Perancis, mendiang Henri Fauconnier pula dianugerahkan Tokoh Pengasas Industri Sawit selepas memperkenalkan tanaman itu di negara ini pada tahun 1911 sebelum memulakannya secara komersial pada 1917 di Ladang Rantau Panjang yang kini dikenali sebagai Ladang Tennamaram.

Sempena sambutan ulang tahun itu juga, pelbagai acara telah diadakan terutama kepada pelajar sekolah seperti Program Negaraku Sawitku dan Pertandingan Mural 100 Tahun Industri Sawit Negara bagi mendedahkan mereka me­ngenai industri sawit.

Turut diadakan ialah Larian 100 Tahun Sawit di Lahad Datu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

Larian 100 Tahun Sawit akan diteruskan pada 13 Mei ini di Persiaran Perdana, Putrajaya dan akan menjadi acara penutup bagi Sambutan 100 Tahun Kegemila­ngan Industri Sawit Negara