Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, program selama tiga hari tersebut disertai murid-murid dari 20 sekolah di sekitar Selangor.

“Untuk tahun ini, kami membahagikan kepada dua kem berikutan jumlah pelajar yang bertambah termasuk enam sekolah baharu dari kawasan Kapar dan Bestari Jaya,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penutup Kem Motivasi UPSR di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Datuk Liew Siong Sing dan Pengerusi Kem Motivasi UPSR Selangor 2018, Norlaila Jamuluddin yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong.

Kem Motivasi UPSR merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Eco World di bawah Program Bantuan Pelajar (SAP) bagi memberi pendedahan kepada murid mengenai persediaan dalam menghadapi UPSR pada September ini.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, kem tersebut turut dijalankan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Johor dan Sabah.

Dalam pada itu, Lam Thye menjelaskan, buat masa ini, Yayasan Eco World melalui SAP telah membiayai lebih 3,000 pelajar pelbagai kaum yang terdiri daripada 2,700 murid sekolah rendah, 300 pelajar sekolah menengah, 37 pelajar pendidikan tinggi serta 18 pelajar yang berjaya menamatkan pe­ngajian dari universiti.

“Sejak empat tahun lepas, SAP telah menyediakan bantuan pendidikan yang holistik, di mana setiap pelajar yang ditaja mendapat bantuan pendidikan tahunan sebanyak RM1,100 ke RM1,200 sepanjang tempoh sekolah rendah; RM1,000 ke RM1,4000 untuk sekolah menengah; RM5,000 untuk satu tahun setengah tempoh persediaan universiti dan RM8,000 ke RM18,000 setiap tahun untuk pengajian tinggi.

“Setiap tahun, kita memperuntukkan lebih RM4 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik di bawah SAP kerana kita percaya, kemiskinan tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk pelajar mendapatkan pendidikan. Mereka inilah yang akan menjadi modal insan kepada negara ini pada masa hadapan,” tambahnya.