KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN

Pandangan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin ketika diajukan soalan mengenai prestasi 100 hari pentadbiran PH lebih-lebih lagi berkaitan dengan 10 perkara yang dijanjikan dalam tempoh tersebut ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Khairy percaya, apa yang penting kepada rakyat ialah Barisan Nasional (BN) ditumbangkan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diturunkan daripada terus mentadbir negara.

“Buat atau tidak buat (janji), rakyat tidak kisah. Tahniahlah kepada PH,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian kedai cenderamata BuahTangan dan kempen media sosial “Born & Bred” sempena bulan kemerdekaan di sini hari ini.

Diajukan pula soalan mengenai prestasi pembangkang khususnya parti diwakili beliau iaitu BN dan UMNO, Khairy menyifatkannya sebagai boleh tahan walaupun tidak cemerlang.

Beliau percaya banyak lagi sudut yang boleh diperbaiki.

“Saya fikir tidak cemerlang tapi tidak juga gagal. Prestasi BN boleh tahan, lulus,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE