Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan menjelaskan, sukarelawan itu akan berlepas menaiki pesawat Malindo Air pagi esok.

Menurut Pejabat Perdana Men­teri, peranan utama mereka ialah untuk melihat situasi semasa yang memberi kesan kepada pelarian Rohingya dalam usaha lebih memahami bantuan sebenarnya diperlukan etnik ber­kenaan.

“Esok, tiga sukarelawan iM4U dan tujuh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menaiki penerbangan Malindo Air ke Bangladesh dan dijangka pulang ke tanah air pada hujung bulan ini.

“Barangan bantuan termasuk makanan dan perubatan akan dihantar pada Isnin depan menggunakan penerbangan kargo Malaysia Airlines,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan pelepasan tim tinjauan Misi Kemanusiaan Pelarian Rohingya ke Chittagong, Bangladesh.

Dalam misi tersebut, pasukan itu turut membawa bantuan makanan seberat 12 tan, sumbangan daripada iM4U.

“Bagaimanapun, segala perancangan ini menunggu kelulusan visa daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh,” kata kenyataan ber­kenaan.