Timbalan Pengarah Kanan (Klinikal) Hospital USM, Dr Nik Min Ahmad berkata, kerjasama itu telah dimulakan sejak September 2015 di mana YHLH membawa masuk pasukan pakar yang berkhidmat secara sukarela untuk membantu pesakit jantung kanak-kanak yang perlu menjalani pembedahan.

Beliau berkata, misi terbaharu dari 24 September hingga Khamis ini disertai pasukan seramai lapan orang dari Royal Hospital for Children, Glasgow, Scotland yang diketuai pakar bedah jantung kanak-kanak kelahiran Malaysia, Dr Edward Peng.

"Sejak kerjasama dimulakan pada 2015, seramai 40 kanak-kanak selamat menjalani pembedahan dan pada kali ini seramai 10 lagi pesakit akan dibedah.

"Pasukan yang mengandungi empat doktor, tiga jururawat dan seorang perfusionis (pengawal alat pintasan jantung) ini membedah purata dua orang setiap hari dengan dibantu pasukan Hospital USM.

"Kita sangat menghargai kerjasama ini memandangkan pihak kami hanya mampu menjalankan pembedahan mudah sahaja dan kebanyakan pesakit terpaksa menunggu giliran untuk dibedah di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Serdang," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUCARE), Prof. Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Ketua Projek 'Hole In The Heart', Dr Mohd Rizal Mohd Zain.

Sementara itu, Dr Nik Min memberitahu, pihaknya menanggung kos penginapan dan makan minum pasukan dari UK tersebut sepanjang berada di sini manakala PADUCARE dengan kerjasama Hypermarket Mydin pula memberi sumbangan hampir RM16,000 untuk membeli alatan jantung bagi dua pesakit yang terlibat dalam pembedahan kali ini.

Katanya, beliau berharap lebih ramai pihak tampil untuk membantu pesakit kurang berkemampuan dengan menyumbang kepada PADUCARE melalui akaun Bank Islam 03018010143422. - UTUSAN ONLINE