Mereka terdiri daripada tiga wakil media iaitu Penolong Pengarang Rencana 2 Kosmo!, Norzasrudin Mohamed Nor; jurufoto Utusan Malaysia, Mahathir Ali dan wartawan Bernama, Linda Koo.

Tiga wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiga kakitangan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan dua ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan turut berjaya sampai ke titik terakhir pendakian tersebut.

Kejayaan berkenaan melengkapkan misi Cabaran Gunung Daik 2017 yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Ketua Pendaki, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa berkata, kesemua 10 peserta berjaya sampai ke pendakian terakhir gunung itu pada pada pukul 11.01 pagi waktu tempatan (12.01 tengah hari).

“Pendakian terpaksa ditamatkan di titik terakhir kerana perjalanan seterusnya ke puncak memerlukan pendaki memanjat tembok batu menggunakan peralatan mendaki yang lengkap.

“Selain itu, pendaki juga memerlukan masa yang lebih panjang atau tambahan hari untuk membuat laluan dan memasang tali ke puncak walaupun hanya setinggi 165 meter,” katanya hari ini.

Cabaran Gunung Daik 2017 dianjurkan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan dengan kerjasama JBPM Pahang serta Kelab Media Pahang (KMP).

Yang turut serta ialah Presiden KMP, Datuk Nik Naizi Husin dan Pengarah JBPM Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi Cabaran Gunung Daik 2017, Datuk Shahruddin Ahmad berkata, pada awalnya, seramai 44 pendaki dijadualkan mendaki ke Gunung Daik.

Bagaimanapun, katanya, jadual pendakian terpaksa diubah pada saat-saat akhir atas nasihat pihak berkuasa tempatan.

“Namun, saya tetap menganggap misi ini berjaya kerana seramai 10 pendaki sampai ke titik terakhir pendakian,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan. - UTUSAN ONLINE