Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka perlu terlebih dahulu membuat permohonan di Jabatan Pelajaran negeri sebelum dipanggil bagi penilaian.

"Mereka perlu mengemukakan rayuan untuk menyambung pelajaran di sekolah biasa melalui Jabatan Pelajaran negeri masing-masing dan seterusnya akan dipanggil bagi penilaian.

"Mereka akan dikenakan beberapa syarat sebelum dipertimbangkan untuk kemasukan ke sekolah terpilih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Guru peringkat Jelebu, dekat sini malam ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias dan Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan Maktab (JRM) yang menamatkan pengajian 10 pelajar MRSM Parit kerana membuli enam pelajar lain, baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, mereka bertindak memukul enam pelajar junior itu selepas semua mangsa enggan meminjamkan kasut bola. - UTUSAN ONLINE.