Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, selain Mat Dris, turut menerima watikah pelantikan ialah Datuk Zulkifli Adnan (Singapura), Datuk V. Sudha Devi (Australia), Zakri Jaafar (Bosnia Herzegovina), Datuk Lim Juay Jin (Brazil) dan Zanariah Zainal Abidin (Republik Czech).

Empat lagi ketua perwakilan Malaysia yang dilantik ialah Sarah Nava Rani Al Bakri Devadason (Jerman), Datuk Jilid Kuminding (Jordan), Mohd. Aznor Mahat (Lebanon) dan Loh Seck Tiong (Kenya).

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman turut menghadiri majlis penyampaian watikah tersebut.

Menurut Kementerian Luar, Mat Dris merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan kementerian dan pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan serta Duta Besar Malaysia ke Syria dari 2010 hingga 2013.

“Bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura (Zulkifli) pula sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Duta Besar Malaysia ke Jerman serta Bosnia Herzegovina. Beliau juga pernah menyandang jawatan Penasihat Kedutaan di Kedutaan Besar Malaysia di Belanda,” jelas kementerian.

Kementerian Luar menambah, bakal Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Sudha Devi pernah menjadi Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Penyelara­san kementerian serta beliau juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Brazil dari 2009 hingga 2014.

“Zakri yang bakal ke Bosnia Herzegovina merupakan Duta Besar Malaysia ke Jordan sejak 2014, beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun dan Setiausaha Kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Santiago, Chile.

“Bakal Duta Besar Malaysia ke Brazil iaitu Juay Jin pula sebelum ini merupakan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nigeria sejak 2014 dan pernah memegang jawatan sebagai Pengarah di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) dan Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China,” katanya.