Sekolah tersebut adalah SK Tengku Bendahara Azman, SK Telok Gong, SK Rantau Panjang, SK Kampung Raja Uda, SK Batu Belah, SK Pandamaran Jaya, SK Pelabuhan Utara, SK Kapar, SK Abdul Samat dan SK Klang.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd. Salleh Mohd. Kassim berkata, melalui kerjasama itu setiap sekolah terlibat menerima bantuan dalam bentuk kemudahan proses pembelajaran dan pengajaran PAK-21 untuk mewujudkan sebuah kelas pintar.

“Peralatan yang diterima termasuklah papan pintar, kerusi, meja, kit alatan abad ke-21 dan peralat­an lain berteknologi tinggi terkini serta pendidikan berinovatif.

“Sekolah yang menjadi tum­puan kita adalah sekolah yang berprestasi sederhana kerana ter­bukti dengan pengenalan ke­las pintar ini, ia mampu meningkatkan pencapaian murid,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis pelancaran kelas pintar di SK Telok Gong di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hai-O, Tan Kai Hee dan Pengerusi Yayasan Sahajidah Hai-O, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Mohd. Salleh dalam pada itu menggesa lebih banyak syarikat korporat tampil bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Selangor bagi mewujudkan lebih banyak kelas pintar.

Katanya, walaupun ketika ini boleh dikatakan hampir 100 peratus sekolah kebangsaan dan menengah di Selangor mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kelas pintar, namun lebih banyak kelas seumpama itu diperlukan.

“Kita mahu melahirkan mo­dal insan yang berkualiti, berpengetahuan, berdaya fikir kreatif dan kritis serta mempunyai keyakinan diri.

“Selain faktor murid dan guru, penggunaan teknologi terkini dengan infrastruktur yang lengkap mampu menghasilkan pencapaian akademik serta sahsiah yang cemerlang dan seimbang,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata, Kumpulan Hai-O melalui Yayasan Sahajidah Hai-O komited untuk terlibat dalam program pendidikan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti dan unggul ke arah memacu Malaysia menjadi negara maju.

“Ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami. Kami merancang untuk meneruskan program ini di sekolah-sekolah lain di Selangor dan negeri lain pada masa depan,” jelasnya.