SABUDDIN SANI
SABUDDIN SANI 

Menurutnya, beliau berpuas hati kerana dapat berbakti di sekolah itu yang juga pernah menjadi sekolah terbaik SPM di seluruh negara selama enam kali dan sentiasa berada dalam kelompok lima teratas setiap tahun.

“Kalau saya toleh semula sejarah saya sejak bertugas di sekolah ini selama 11 tahun, saya boleh katakan saya sudah boleh tidur lena apabila bersara tidak lama lagi.

“Bagaimanapun, kejayaan sekolah ini adalah hasil kesungguhan para pelajar, guru-guru dan juga sokongan ibu bapa,. Mencapai kejayaan mudah tapi untuk mengekalkannya adalah sukar,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan SPM 2018 di sekolah itu di Sikamat di sini hari ini.

Seramai 40 pelajar SMS Tuanku Munawir atau lebih dikenali sebagai Saser mendapat 9A dalam semua mata pelajaran diambil dan tiga pelajar memperoleh 9A+.

Mengulas lanjut, Sabuddin berkata, beliau menganggap sekolah itu sebagai rumah pertamanya kerana lebih banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah sendiri.

“Saya percaya saya perlu sentiasa bersama guru dan pelajar. Kalau ada kelas pada waktu malam, saya akan turut sama berada di sekolah. Walaupun bukan untuk mengajar tetapi mereka dapat rasa sokongan yang diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Walaupun dianggap mempunyai penampilan serius, Sabuddin berkata, beliau tegas semata-mata untuk melihat kejayaan pelajar dan sekolah berkenaan.

“Ada yang suruh saya senyum sikit, walaupun nampak serius saya sentiasa bersikap terbuka dengan guru mahupun pelajar,” katanya yang telah berkhidmat selama 37 tahun dalam bidang perguruan. - UTUSAN ONLINE