Ketua Pegawai Eksekutif Ya­ya­­san Warisan Ummah, Marhaini Yusoff (gambar) berkata, prog­ram tahun kedua itu bakal melibatkan 120 negara berbanding 50 negara pada tahun lalu.

“Program ini akan diadakan pada 9 Zulhijah 1438H dan pe­nganjuran kali ini agak istimewa kerana jatuh pada Hari Kebangsaan.

“Peserta akan membaca surah Yasin bermula pukul 12 tengah hari di lebih 2,000 lokasi di seluruh negara. Ada sebahagian negara akan mengalunkan surah tersebut mengikut zon masa yang sesuai dengan negara mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelasnya, selain Indonesia dan Singapura, turut terlibat ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maldives, United Kingdom, Ireland, Australia serta China.

“Penglibatan negara luar adalah satu penghormatan buat ki­ta, syukur mereka menyokong penganjuran program ini. Malah kita yakin ada beberapa negara akan menyatakan persetujuan dalam masa terdekat.

“Saya berharap lebih ramai pihak memainkan peranan untuk memastikan penganjuran ini berjaya. Mungkin syarikat swasta atau kerajaan boleh meminta anak syarikat mereka yang berada di luar negara untuk sama-sama memberikan sokongan,” katanya.

Tambahnya, penganjuran pa­­da kali ini turut mendapat so­kongan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Majlis Dakwah Negara (MDN), Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia.