Keperitan hidup mereka boleh berlarutan hampir dua minggu pada setiap bulan, sekali gus menyebabkan Che Omar Awang, 74, dari Kampung Hiliran Masjid di Losong terpaksa mengambil upah memotong rumput secara sambilan jika terputus pendapatan.

Dia yang merupakan antara penga­yuh beca paling tua di negeri ini berkata, walaupun laluan untuk mencari rezeki bagi menya­ra isterinya, Rahmah Yusof, 65, semakin suram, namun dia tetap setia dengan tugasan itu memandangkan sudah 45 tahun menghabiskan sisa kehidupan dengan mengayuh beca yang membantunya membesarkan dua anak suatu ketika dahulu.

Katanya, dengan tambang se­rendah RM5 bagi perjalanan sehala ke destinasi lazim iaitu Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), dia berpuas hati memperoleh RM15 hingga RM20 sehari.

“Kalau nak kata cukup tu memanglah tidak, tetapi apa boleh bu­at, kena terima risiko upah yang tidak menentu asalkan bo­leh bayar bil api dan air pun sudah memadai.

“Kadang-kadang dekat 10 hari tak dapat pitih (wang) sebab tak ada pelanggan. Nak dapat seorang pelanggan sehari pun sakit. Mujur ada sebuah kedai makan di sini yang sudi beri makan percuma bagi mengalas perut sebelum balik ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Che Omar memberitahu, berbekalkan duit RM1,000 yang disimpan selama dua tahun hasil penat lelah yang dicurahkan de­ngan mengayuh beca, dia akhir­nya berjaya memiliki kenderaan itu pada tahun 2000 selepas sekian lama menyewa daripada pemilik asal.

Katanya, pengayuh beca di negeri ini akan terus kekal sebagai golongan miskin tradisi jika kebajikan mereka tidak dibela.

“Mungkin ada yang tidak tahu, rata-rata pengayuh beca ini tidak ada kenderaan lain selain beca, nak beli motosikal pun kami tidak mampu. Kalau beca rosak, seboleh-bolehnya kami akan tunggu di bengkel seharian sehingga siap, kalau tidak, bagaimana nak balik ke rumah,” katanya.

Seorang lagi pengayuh beca, Ariffin Ismail, 70, dari Kampung Teluk Pasu berkata, perkhidmatan itu lebih banyak digunakan penduduk tempatan.

Katanya, sambutan dalam kalangan pelancong luar dan tempatan sangat kurang meman­dang­kan mereka ke negeri ini menaiki kenderaan sendiri.

“Biasanya pukul 8 pagi saya keluar rumah untuk ke Pasar Besar Kedai Payang yang me­ngambil masa sejam perjalanan. Kadang-kadang li­ma jam pertama masih tiada pelanggan dan hanya duduk menunggu. Ada kawan-kawan yang seawal pukul 12 tengah hari sudah pulang sebab letih menunggu tetapi tiada orang,” katanya.