Barangan tersebut adalah kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.

Menterinya, Datuk Seri Ham­zah Zainudin berkata, skim yang kali pertama dilaksanakan itu bertujuan menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan selain mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga.

“Sebelum ini terdapat pelbagai rungutan daripada orang ramai tentang kenaikan harga barangan tertentu oleh peniaga terutama menjelang dan semasa Ramadan.

“Menerusi skim ini peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakan dengan barangan lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Hamzah berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Mereka yang menjual me­lebihi harga maksimum ditetapkan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 khususnya tepung gandum (kegunaan am), mana-mana orang perseorangan tidak termasuk pengarah atau pegawai syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.

Selain itu, katanya, mereka juga boleh dipenjara tidak me­lebihi tiga tahun atau kedua-­duanya manakala bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, bagi syarikat pula, boleh didenda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kedua, denda tidak melebihi RM5 juta.

Katanya, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga kementerian akan berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan.