Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri bersama Malaysian Industry - Government Group for High Technology (MIGHT), Perbadanan Teknologi Hijau dan Persatuan Syarikat Perkhidmatan Tenaga Malaysia (MAESCO).

“Antara bangunan hotel yang telah memberikan komitmen untuk mengambil bahagian ialah Hotel Hatten, Hotel Equatorial, Philea Resort dan Hotel Ramada.

“Bangunan industri pula ialah Panasonic Appliances Foundary Malaysia Sdn. Bhd., Dominant Opto Technologies Sdn. Bhd., Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Infoneon Technologies

(M) Sdn. Bhd., Sindutch Cable Manufacturer Sdn. Bhd. dan Telekom Malaysia Berhad,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Yunos Husin dalam majlis Pelancaran

Pelaksanaan Program Kecekapan Tenaga Oleh Sektor Swasta di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Sulaiman dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektoral) Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Allauddin Anuar.

Menurut Idris, Melaka telah dipilih oleh MIGHT sebagai perintis bagi merealisasikan pelan tindakan bandar hijau.

Antara projek awal yang sedang dan akan dilaksanakan ialah program kecekapan tenaga bagi bangunan kerajaan dan swasta, Waste Eco Park di Sungai Udang, projek teknologi rawatan air, bandar hijau Hang Tuah Jaya, pengangkutan hijau, smart grid dan Solar Technology Park.

MIGHT dan Perbadanan Teknologi Hijau akan menyelaras aktiviti sokongan termasuk pembangunan teknologi, pembiayaan projek, pembangunan tekno-keusahawanan dan kordinasi melibatkan kementerian dan agensi pusat.

“Unjuran pelaburan oleh industri dalam melaksanakan projek-projek awal ini adalah dalam lingkungan sekurang-kurangnya RM5.4 billion menjelang tahun 2020,” katanya.

Idris berkata, sebelum ini sebanyak sembilan buah bangunan kerajaan negeri terlibat di bawah program bandar hijau Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).

Bangunan-bangunan tersebut termasuklah Seri Negeri, Graha Makmur Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Wisma Negeri, Hospital Putra, Graha Maju, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Kompleks Melaka Sentral, Wisma Air dan bangunan Majlis Perbandaran Alor Gajah.

Jelasnya, kesemua bangunan tersebut telah melalui proses audit tenaga dan laporan lengkap telah disediakan oleh pihak perunding.