Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, individu berkenaan telah dilucutkan status kewarganegaraan mereka mengikut Perkara 24, 25, 26 Perlembagaan Persekutuan.

“Selepas mendapat bukti yang kukuh terhadap segala kesalahan yang telah dilakukan, kerajaan telah mengambil tindakan melucutkan status kewarganegaraan terhadap individu-individu yang terbabit.

“Kerajaan sememangnya tidak mengiktiraf pemilikan dua kerakyatan oleh rakyat negara ini dan tindakan pelucutan status kewarganegaraan wajar dikenakan mengikut perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2018 di sini hari ini.

Semalam Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerajaan tidak mengiktiraf sebarang pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan dan seseorang warganegara Malaysia boleh dilucutkan status kewarganegaraan.

Dalam perkembangan lain, Azis memaklumkan, bermula 2 Mei, prosedur permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan seperti bil utiliti dan cukai pintu. - UTUSAN ONLINE