Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) negeri, Datuk Baderul Sham Saad berkata, bekalan elektrik terputus berpunca daripada kerosakan pencawang masuk utama (PMU) pusat bandar di Jalan Datuk Abdul Rahman Andak, di sini.

Katanya, gangguan bekalan elektrik itu menjejaskan aktiviti harian orang ramai selain beberapa lampu isyarat di Jalan Tebrau yang menghubungkan kawasan Taman Pelangi dan Taman Century dengan pusat bandar tidak berfungsi menyebabkan kesesakan yang teruk.

"Gangguan melibatkan 10,000 akaun pengguna. Antara yang terjejas adalah bangunan Komtar, Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Balai Polis Sentral, Bangunan JB Sentral, Hospital Sultanah Aminah, Taman Century dan Jalan Yahya Awal,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Baderul Sham berkata, Pihaknya sedang menyiasat punca kerosakan dan usaha sedang dilakukan bagi memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat.

Sehingga pukul 5.55 petang, gangguan bekalan elektrik di kawasan terjejas masih belum pulih sepenuhnya. - UTUSAN ONLINE