Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) negeri, Dr. Junaidden Mohamad Zain berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 1991, kelab tersebut sentiasa bergerak aktif dengan pelbagai aktiviti.

Katanya, hampir semua sekolah khususnya di daerah Machang, Jeli dan Bachok menyertai kelab berkenaan.

"Ini merupakan pencapaian yang baik dengan hampir 60 peratus sekolah di negeri ini menyertai kelab tersebut.

"Matlamat kita melalui kelab ini adalah untuk melahirkan pelajar yang boleh menjadi model kepada murid lain,  guru dan ibu bapa dengan mengamalkan amalan gaya hidup sihat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutupan Konvensyen Kelab Doktor Muda Sekolah Rendah peringkat Negeri Kelantan 2017 di Bahagian Teknologi Kelantan (BTP) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE