Acara tersebut bermula tepat pukul 7.30 pagi selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memeriksa perbarisan kawalan kehormat yang dikendalikan oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Sebanyak lebih 3,000 peserta daripada 149 kontinjen menyertai perbarisan tahun ini terdiri daripada pasukan keselamatan, pelajar sekolah, pelajar institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan banyak agensi lagi.

Alunan lagu-lagu patriotik oleh koir daripada sukarelawan pelajar sekolah menceriakan lagi suasana sambutan itu dan turut disaksikan oleh ratusan pelancong yang berkunjung ke Kota Kinabalu.

Kemuncak sambutan adalah yang paling ditunggu-tunggu apabila penerbangan lintas hormat oleh pesawat pejuang Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melintasi ruang udara sambil mendapat sorakan para pengunjung.

Dua helikopter Bombadier milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kemudiannya menyusul bagi melengkapkan acara tersebut.