Md. Sulji Zakaria bersama banner program Fit Malaysia Kelantan 2015 yang akan diadakan di Kota Bharu, Sabtu ini.

Program kelolaan Kementerian Belia dan Sukan yang diadakan seawal pukul 6.30 pagi sehingga 6 petang itu melibatkan empat aktiviti utama iaitu senamrobik, larian, berbasikal, berjalan kaki serta pameran dan jualan.

Lebih menarik Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bukan sahaja bakal merasmikan program tersebut malah akan turut menyertai beberapa aktiviti yang diadakan bersama orang ramai.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Md. Sulji Zakaria berkata, Fit Malaysia Kelantan 2015 diadakan bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat setempat dalam aktiviti kecergasan.

Katanya, program itu membolehkan lapisan masyarakat di seluruh negeri ini berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan yang membawa manfaat dari aspek kesihatan dan perpaduan.

“Saya berharap orang ramai hadir memeriahkan lagi program ini sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi terhadap kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas.

“Program ini juga dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat berbudaya sukan ke arah sebuah negara bersukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, program itu dipilih berdasarkan kepada minat dan populariti dalam kalangan masyarakat khususnya golongan belia dan remaja tanpa mengenal batas umur, bangsa, agama serta latar belakang.