Orang ramai mula hadir ke dataran tersebut seawal pukul 5 pagi bagi menonton upacara tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 bermula pukul 7.30 pagi.

Malah, orang ramai turut beratur di sepanjang laluan Perarakan Kenderaan Diraja sejauh kira-kira lapan kilometer termasuk di dataran bagi menyaksikan peristiwa bersejarah itu.

Bagi warga emas, Leong Heng Choi, 72, dari Senai, Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor merupakan upacara yang cukup bermakna baginya memandangkan dia pernah menyaksikan upacara serupa pada tahun 1960.

“Ketika upacara bagi Almarhum Sultan Ismail dahulu saya berusia 17 tahun dan saya bersama-sama rakan sekolah pergi ke Jalan Trus di pusat bandar untuk menyaksikan perarakan itu.

“Sebab itulah saya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan semula upacara bagi Sultan Ibrahim. Bagi saya kedua-dua pe­ristiwa bersejarah itu adalah kena­ngan yang cukup indah dalam hidup saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi V. Ravi, 42, dari Senai, dia bersama keluarganya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri upacara itu di Dataran Bandaraya memandangkan terdapat paparan skrin besar disediakan di kawasan berkenaan.

“Kalau tengok televisyen di rumah tidak begitu seronok. Sebab itulah saya bawa keluarga ke dataran ini untuk bersama-sama memeriahkan upacara ini bersama rakyat Johor yang lain,” katanya.

Seorang peniaga, Muhammad Hafiz Haikal Hisham, 25, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sanggup datang ke Dataran Bandaraya bukan hanya untuk berniaga, tetapi pada masa sama menyaksikan siaran langsung berkenaan.

“Sebagai genarasi muda, saya amat gembira kerana dapat menyaksikan peristiwa bersejarah itu, sekali gus meningkatkan jati diri sebagai anak Johor,” ujarnya.