Hadiah bernilai RM10 ribu berserta wang tunai untuk direbut dalam pertandingan memancing anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Pengarah Taman Pertanian UPM (TPU), Prof. Dr. Japar Sidik Bujang, pertandingan tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam Ekspo Pertanian dan Pesta Konvo UPM ke - 41.

Beliau berkata, ia merupakan pertandingan yang mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti Oishi Green Tea, Igloo dan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

“Berdasarkan kepada pengalaman tahun lalu, hampir 600 orang menyertai pertandingan memancing anjuran UPM. Jadi, kali ini kita menjangkakan lebih ramai.

“Pertandingan akan bermula pada pukul 3.00 petang pada hari pertama dan 6.00 pagi pada hari kedua. Namun, orang ramai boleh datang seawal jam 5.30 pagi untuk mendaftar dan merebut tempat untuk memancing.

“Setiap peserta perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM30 untuk satu joran. Pemenang pula akan dipilih berdasarkan tangkapan terberat dan terbuka kepada semua jenis ikan,” katanya dalam Majlis Pelepasan Ikan Sempena Pertandingan Memancing Pesta Konvo UPM semalam.

Selain daripada pertandingan memancing, terdapat pelbagai lagi aktiviti menarik sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvo UPM.

Terdapat 28 gerai akan dibuka sempena program yang berlangsung selama enam hari bermula 3 November ini.

Turut menarik perhatian adalah jualan hasil pertanian seperti anak pokok durian daripada klon yang diminati ramai seperti Duri Hitam (D200), Raja Kunyit (D197) dan Hajah Hasmah (D168).

Bagi peminat orkid pula, terdapat spesis yang dinamakan sempena Tengku Permaisuri Selangor, Norashikin Abdul Rahman akan dipamerkan dalam ekspo tersebut. - UTUSAN ONLINE