Kemalangan kira-kira pukul 8.45 pagi itu bermula apabila kereta Proton Wira yang dipandu oleh Sim Lee Peng, 36, dari arah Kota Tinggi ke Johor Bahru dipercayai masuk ke laluan bertentangan.

Kereta dipandu wanita itu kemudian bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona dipandu Fred Edin, 31, dari Johor Bahru ke Kota Tinggi.

Akibatnya kereta dipandu Lee Peng terbalik dan wanita itu yang beralamat di Kampung Gembut, Jalan Tanjung Sedili di sini maut di tempat kejadian disebabkan cedera di badan.

Sementara kereta dipandu Fred pula terbakar, namun lelaki itu sempat dibantu orang ramai keluar daripada kenderaan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan Mohd. Rafie Mohd. Nor berkata, sebuah jentera melibatkan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi mendapati sebuah daripada kende­raan terlibat iaitu Proton Persona telah terbakar hampir ke­seluruhan. Pasukannya melakukan operasi pemadaman dan tamat pada pukul 10.19 pagi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ahsmon Bajah berkata, pemandu Proton Persona tersebut me­nerima rawatan di Hospital Kota Tinggi dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.