Pensyarah Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM, Julina Tajul Ariffin berkata, sambutan daripada para pengunjung amat menggalakkan yang mana pada hari pertama, sebanyak 1,070 buku diagih kepada pengunjung.

“Sebanyak 816 buku telah diambil pada hari kedua program. Pada hari pertama semalam, 1,070 buah telah dipilih dan direbut.

“Lebihan buku sebanyak 368 diagihkan kepada organisasi-organisasi terpilih,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut di Kampus UiTM Puncak Perdana di sini, hari ini.

Julina berkata, program dengan tema Cintai, Baca dan Pilihlah Buku tersebut diadakan sempena Hari Perpustakaan anjuran pelajar subjek Public Relationship (CTM563) UiTM.

Menurutnya, program yang disasarkan kepada masyarakat setempat bertujuan mengeratkan hubungan di antara pelajar UiTM Kampus Puncak Perdana dengan penduduk sekitar.

“Di samping itu, program ini juga untuk menggalakkan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.

“Objektif yang ingin dicapai adalah menjadikan buku sebagai bahan rujukan utama dan menggalakkan sikap suka membaca khususnya komuniti sekitar dan pelajar UiTM Kampus Puncak Perdana,” ujarnya.

Terdapat pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang program berlangsung seperti cabutan bertuah, pengunjung bertuah, melukis dan mewarna serta teka silang kata. - UTUSAN ONLINE