Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, program kali ini adalah siri jelajah kali ketiga yang dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pendidikan tahun ini.

Katanya, jelajah itu bertujuan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar berkenaan dengan memperkenalkan slogan `Perniagaan Satu Kerjaya' bagi menarik minat mereka menceburi bidang perniagaan sejak di bangku sekolah.

"Dengan mengetengahkan budaya ilmu, program ini menyediakan seminar ilmu keusahawanan oleh penceramah terkenal, perkongsian pengalaman bersama selebriti usahawan berjaya, seminar memulakan perniagaan dan taklimat oleh agensi kerajaan berkaitan.

"Siri jelajah ini dimeriahkan dengan menyediakan 30 gerai jualan dan pameran untuk memberi ruang kepada para pelajar menjalankan perniagaan disamping mendapatkan maklumat mengenai bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan untuk para usahawan," katanya dalam ucapan perasmian program tersebut.

Menurutnya, SSM turut menganjurkan pertandingan business pitching bertujuan memberi peluang kepada para pelajar menggunakan ilmu keusahawanan yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung dengan tawaran hadiah tempat pertama sebanyak RM1,000, RM800 (kedua) dan RM500 (ketiga).

Juara pertandingan business pitching kali ini dimenangi oleh para peserta dari KV Dato' Undang Haji Muhammad Sharip manakala naib juara, KV Ampangan dan tempat ketiga diraih oleh KV Dato Lela Maharaja.

Dalam program hari ini, SSM memperuntukkan RM22,800 untuk zakat korporat yang diagihkan sebanyak RM200 untuk setiap 104 pelajar yang tergolong dalam kategori asnaf manakala baki RM2,000 disalurkan kepada Surau Al-Abrar, KV Port Dickson.

Bagi pelajar bukan Islam, SSM menyediakan peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM8,800 kepada 44 pelajar yang layak. - UTUSAN ONLINE