J. A. Leng
J. A. LENG

Menurut mereka, Kerajaan DAP Pulau Pinang seolah-olah tidak mengambil pengajaran daripada bencana alam banjir besar dan tanah runtuh yang berlaku ketika ini selepas projek berkepadatan tinggi di lokasi berkenaan difahamkan akan diteruskan dan bermula dalam masa terdekat.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan Green Miami, J. A. Leng berkata, projek di Lot 62 yang dirancang itu mengancam keselamatan penduduk dan berisiko tinggi kerana tapak pembinaan di lereng bukit tersebut boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh.

“Penduduk di sekitar kawasan ini membantah ranca­ngan projek ini atas dasar ke­selamatan kami dan bantahan itu juga sudah dikemukakan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang menerusi pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Kita berharap kerajaan ne­geri mendengar suara kebimbangan kami dan lebih peka serta menyelidik pelbagai aspek sebelum meluluskan projek sedemikian, bukannya memen­tingkan keuntungan semata-mata,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Difahamkan, projek terbaharu yang dirancang di lereng bukit itu membabitkan dua buah apartmen bercampur se­tinggi 34 tingkat dan satu blok 20 tingkat rumah kos rendah dan sederhana rendah.

Ketika ini, kawasan yang dirancang dengan pembangunan itu sudah menempatkan lima blok pangsapuri 29 tingkat serta dua blok unit rumah sederhana rendah yang disifatkan sudah terlalu padat dengan pembangunan untuk sesebuah kawasan.

Dalam pada itu, J. A. Leng turut melahirkan rasa hairan bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan permohonan projek pemba­ngunan baharu tersebut tanpa mengambil kira kesannya kepada penduduk sedia ada.

Menurut beliau, kerja-kerja tanah khususnya penarahan bukit sepanjang pembinaan projek itu bakal memberi kesan seperti haki­san tanah dan banjir lumpur apatah lagi tanpa sistem pengaliran dan saliran yang sempurna.

“Situasi ini boleh menjejaskan penduduk dan kita bimbang jika pembangunan dibuat tanpa sebarang kawalan, satu lagi tragedi tanah runtuh yang meragut nyawa tidak mustahil boleh berlaku,” katanya.