Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, rekod jumlah pengunjung tertinggi dicatat semalam dengan 560,000 pengunjung.

"Pengiraan pengunjung adalah di empat pintu masuk rasmi MAHA 2016 kerana ada petugas yang mengira kemasukan pengunjung.

"Jumlah ini tidak termasuk mereka yang masuk ke MAHA ikut panjat pagar," katanya ketika mengumumkan nama pengunjung ke 1.5 juta MAHA 2016 iaitu Suria Mat, 28, surirumah dari Shah Alam, Selangor yang menerima hadiah berupa pendingin hawa.

Suria berkata, ini merupakan kali pertama dia ke MAHA kerana ingin meninjau produk pertanian yang ditawarkan.

"Saya memilih untuk datang ke MAHA pada hari ini kerana suami saya bercuti. Apabila tiba di pintu masuk, saya didekati beberapa petugas yang memberitahu saya merupakan pengunjung yang ke 1.5 juta," kata Suria.

MAHA 2016 dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita' dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dan dijangka menarik seramai tiga juta pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya mulai 1 hingga 11 Disember ini.

Antara yang mengunjungi MAHA hari ini ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. - BERNAMA