Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 611 anggota penguatkuasaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melawat 2,786 tempat makan termasuk yang beroperasi 24 jam hingga tempoh itu.

“Anggota penguat kuasa KKM sudah diingatkan supaya tidak mengeluarkan kompaun dalam tempoh enam bulan penguatkuasaan pendidikan lara­ngan tersebut dan hanya boleh memberikan amaran bertulis sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini.

Larangan merokok di tempat makan bermula semalam, di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018. Selepas tempoh penguatkuasaan pendidikan selama enam bulan, mana-mana individu yang me­lakukan ke­salahan merokok di tempat la­rangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dr. Dzulkefly berkata, sebahagian besar mereka yang menerima notis amaran bertulis dan nasihat mendakwa mereka tidak menyedari lara­ngan merokok di tempat makan yang sudah berkuat kuasa.

Menurutnya, hingga tengah hari hari ini, sebanyak 7,451 risalah telah diedarkan dan 28 panggilan telefon diterima KKM berkaitan isu larangan merokok di tempat makan.

Dr. Dzulkefly berpuas hati terhadap sokongan dan momentum positif yang ditunjukkan masyarakat mahupun pertubuhan bukan kerajaan terhadap larangan ber­kenaan yang bertujuan memastikan tempat-tempat makan di negara ini bebas asap rokok.

“Perokok bukan tidak dibenarkan me­rokok sama sekali namun mereka dilarang menyebarkan bahaya asap rokok kepada orang lain. Jadi mereka perlu merokok jauh dari orang ramai,” katanya, yang turut berkongsi kegembiraan melihat gambar-gambar yang menunjukkan perokok menga­singkan diri pada jarak tiga meter yang dikongsi di platform media sosial. – BERNAMA