“Sebanyak RM7.9 bilion perlu dikutip daripada kira-kira 600,000 peminjam yang masih belum melunaskan bayaran pinjaman mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi perbincangan meja bulat PTPTN bersama Majlis Profesor Negera (MPN) di sini hari ini.

Sesi yang membincangkan kelestarian pembiayaan pendidikan tinggi itu melibatkan 25 ahli akademik dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Mastura berkata, PTPTN memberikan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada 42,084 pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama membabitkan pinjaman berjumlah RM1.25 bilion.

Mengenai perbincangan meja bulat itu, beliau berkata, itu membolehkan PTPTN mendapatkan input baharu untuk meneruskan kelestarian menyediakan pinjaman kepada pihak yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Raduan berkata MPN, akan mengkaji polisi pengecualian bayaran balik kepada peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama termasuk aspek ketidakseragaman standard ijazah kelas pertama antara pelbagai institusi pendidikan tinggi.

Ketika ini, pengecualian bayaran balik hanya diberikan kepada pemegang Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama yang dinilai bagi pencapaian atau kecemerlangan akademik 100 peratus.

Beliau berkata, aspek kecemerlangan pelajar juga perlu dilihat berdasarkan penglibatan mereka dalam aktiviti luar bilik kuliah.

"Ini perlu ditangani dengan cara berhemah agar pemberian pengecualian itu dapat dibuat secara lebih holistik, bukannya hanya bersandarkan kepada pencapaian akademik semata-mata," katanya. - BERNAMA