Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Pra­sarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, pihaknya telah me­laksanakan sesi intensif sejak dua tahun lalu untuk mendapatkan kumpulan tenaga kerja yang sedia untuk mengendalikan laluan sepanjang 51 kilometer itu.

“Pelbagai ujian telah dilakukan oleh kakitangan teknikal dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran operasi tanpa sebarang gangguan termasuk pergerakan sembilan stesen bawah tanah.

“Sebanyak 58 set gerabak MRT disediakan bagi laluan SBK dengan 42 set akan beroperasi dengan kekerapan tiga minit ketika waktu puncak apabila fasa kedua mula beroperasi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Prasarana di sini.

Katanya, pihaknya turut menjangkakan 400,000 penumpang sehari apabila laluan SBK mula beroperasi sepenuhnya Isnin ini.

Azmi berkata, perkhidmatan sambungan baharu itu akan memberi kemudahan dan ke­selesaan pada kadar tambang yang tidak membebankan penumpang, di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas.