Mereka terdiri daripada pe­neroka rancangan Felda Sungai Sayong, Felda Bukit Besar, Felda Bukit Ramun dan Felda Pasir Raja.

Insentif sebanyak RM5,000 seorang itu disampaikan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam satu majlis di Dewan Raya Felda Bukit Besar baru-baru ini.

Adham yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja berkata, insentif tersebut adalah sebahagian daripada penghargaan Felda kepada peneroka yang sudah bebas daripada hutang dengan agensi berkenaan.

“Inilah bukti janji Perdana Menteri sebagai penghargaan Felda kepada peneroka yang sudah bebas hutang sepertimana dinyata­kan beliau dalam perhimpunan Felda tahun lalu di Pahang.

“Jasa dan sumbangan warga Felda memang tidak pernah dilupakan dan kami bersyukur rintihan mereka sentiasa dide­ngar,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Cek Peneroka Felda Sifar Hutang DUN Pasir Raja di dewan berkenaan.

Adham berkata, warga Felda yang masih mempunyai hutang turut menerima sumbangan ber­kenaan setelah baki hutang mereka dilunaskan.

“Sumbangan ini tidak terkecuali kepada semua peneroka, sekiranya mereka mempunyai hutang sebanyak RM3,000, mereka masih memperoleh sumba­ngan RM2,000 lagi,” katanya.

Terdahulu, Adham berkata, dalam memberi keselesaan kepada masyarakat Felda, kerajaan Barisan Nasional (BN) memperuntukkan dana membina jalan raya di perumahan generasi ke­dua Felda.

“Sebanyak RM1.35 juta disediakan untuk perumahan ge­nerasi kedua di Felda Bukit Ramun, RM2.2 juta di Felda Sungai Sayong, RM2.2 juta di Felda Bukit Besar dan RM700,000 di Felda Pasir Raja,” katanya.