Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, pihaknya telah mengenal pasti buah 40 kawasan panas yang kerap berlaku kemalangan di seluruh negeri ini.

“Daripada 40 jumlah itu, sebanyak enam lokasi akan difokuskan iaitu di Jalan Klang-Teluk Intan KM45, Jalan Panchang Bedena, Sabak Bernam; Jalan Klang Teluk Intan, Kuala Selangor.

“Lokasi tersebut termasuk Persiaran Jubli Perak, Shah Alam; Jalan Meru, Klang Utara; Jalan Klang-Banting, Kuala Langat dan KM40 - KM79 Jalan Sungai Choh - Bukit Beruntung, Hulu Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Selamat ke-15 sempena Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Selangor di Plaza Tol Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini hari ini.

Sementara itu, Noor Azam berkata, sebanyak 1,096 kemalangan jalan raya telah dilaporkan sepanjang dua hari Ops Selamat berlangsung dengan kebanyakan membabitkan kemalangan motosikal.

“Daripada jumlah itu, tujuh kes adalah kemalangan maut.

“Selain itu, sebanyak 7,262 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik antaranya menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan melanggar lampu merah,” katanya. – UTUSAN ONLINE