Majlis tersebut diserikan de­ngan kehadiran Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Rakyat Ba­ling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.

Abdul Azeez ketika berucap dalam majlis itu memberitahu, penganjuran program tersebut membuktikan akhbar ini serius dalam menyokong dan membantu pembangunan institusi pendidikan negara.

“Program khidmat sosial kepada masyarakat seperti ini sememangnya patut didahulukan terutamanya dalam soal kebajikan dan pembangunan sosial serta ekonomi masyarakat setempat khususnya.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini turut menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan program yang pelbagai untuk pembangunan pendidikan negara selain turut menyuntik hubungan kemasyarakatan dan keibubapaan,”katanya pada majlis perasmian program ber­kenaan di Kompleks Rakan Muda, Batu 42, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez mahu guru dan ibu bapa memanfaatkan ilmu pengetahuan yang diperoleh terutama memaksimumkan penggunaan teknologi perkomputeran dan liputan talian internet secara menyeluruh de­ngan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

“Oleh itu, saya amat menyambut baik usaha kerjasama pintar akhbar Utusan Malaysia melalui akhbar Pendidikan yang melahirkan akhbar dalam talian Tutor.com.my yang menjadi bahan alternatif penting untuk guru dan pelajar yang akan menduduki peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sementara itu, Mohd. Noordin berkata, usaha Kumpulan Utusan untuk memartabatkan pendidikan agar lebih cemerlang dalam kala­ngan pelajar melalui e-Learning akan diteruskan melalui pelbagai program termasuk melantik sembilan guru untuk menjadi fasilitator kepada e-Tutor di daerah ini.

“Ini juga merupakan salah satu usaha dan sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendekati pelajar dengan produk-produk asas digital yang merupakan produk masa hadapan,” kata Mohd. Noordin.

Pada majlis itu, Mohd. Noordin turut menyampaikan sumbangan Kumpulan Utusan berupa kata laluan bagi akses tutor.com.my kepada 7,119 pelajar Baling yang bernilai RM711,900 dan makmal digital bahasa, Renet kepada 200 pelajar yang bernilai RM400,000.